The Redemption of a Joker ——— First Mate - Rais Hanafi . . Thread.
Thursday, 29 May 2014, 8:00 PM, ——— Di sebuah rumah papan, Hujan menitis renyai-renyai.. Seorang lelaki sedang duduk di atas sebuah kerusi plastik, di hadapan pintu rumah, Di sebelahnya, adanya sebuah gitar, Dengan perlahan, dia menyalakan sebatang rokok..
Titisan air hujan terenjis di kepalanya, Bau hujan yang disulam asap rokok, begitu menggamit hatinya, Dia meraupkan rambutnya ke belakang.. dan dia mendongak ke langit, Kemudian, dia membuka zip jaket hitamnya yang lusuh, dan dia tongkatkan lengannya di atas pehanya..
Dia melihat jam di tangan kanannya, “8:15..” Sejurus itu, dia bingkas bangun dan mengintai ke dalam rumahnya, “Nur.. abang nak gerak dah ni..” Seorang wanita, berjalan dari dapur sambil menyahut, “Hujan ni.. abang nak pergi jugak ke?” “Pergi.. hujan renyai-renyai je ni..”
Wanita itu mencapai sebatang payung di tepi almari, lalu dia hulurkan kepada lelaki itu, “Hati-hati jalan bang..” “InsyaAllah..” “Kunci semua tingkap, pintu..” sambung lelaki itu, sambil menggalas beg gitarnya, Wanita itu mengangguk, “Abang pergi dulu..”
Setelah bersalaman dengan isterinya, lelaki itu membuka payungnya, dan berjalan menuju ke arah keretanya di luar pagar rumah, Langkahnya kedengaran begitu ringan, Setelah kakinya berpijak di luar rumah, lelaki itu melontarkan rokoknya..
Ini adalah sebuah kisah.. Tentang seorang lelaki, yang menyara kehidupannya sekeluarga, dengan hanya ber-busking di tengah bandar pada waktu malam.. Dan menjadi guru ganti di kelas-kelas musik yang kurang terkenal pada waktu siang..
Seorang lelaki yang seperti laki-laki kebanyakkannya, berprinsip normal dan menjalani kehidupan secara apa adanya.. Namun siapa sangka, lelaki yang berwajah plain dan sentiasa berkerut dahinya ini, bakal menggoncangkan sebuah agenda yang kan tersingkap layarnya suatu masa nanti.
“Bang!” laung isterinya dari jauh, sambil membawakan sesuatu, Lelaki itu menoleh ke belakang, “Botol air abang tertinggal..” Lelaki itu menyambut pemberian isterinya, “Abang balik awal ek?” Lelaki itu mengangguk perlahan.
Di sebatang jalan, Lelaki itu memandu keretanya. Fikirannya melayang jauh.. jauh sehingga menikam langit dan membelah awan.. Mengenangkan isterinya yang sedang hamil, lelaki itu kerap kali mengira-ngira di dalam kepalanya, Menolak dan menambah angka, berulang-ulang kali..
Tepat jam 9:00 PM, Lelaki itu sampai di sebuah pasar, Bazaar Karat, Johor Bharu, Dia mematikan enjin keretanya, dan menggalas beg guitarnya, Hujan mulai reda, dia mendongak ke langit, “Clack.” dia nyalakan sebatang rokok. ——xx—— Rais Hanafi - 25 Tahun Busker / Guru Musik
Tiga jam kemudian, 12:10 AM, Di satu kaki lima, ——— Rais mengemas-ngemas barangnya, Setelah kesemua barang diletakkan di dalam begnya, dia bersila dan menyandarkan tubuhnya di dinding, Riuhan orang ramai masih lagi kedengaran. Pasar itu masih lagi membingitkan..
Rais membuka zip dan menyeluk tangan kanannya ke dalam beg galasnya, Manakala tangan kirinya mencapai sehelai tuala putih, dan dilapkan peluh di muka dan di dahinya, “Dua ringgit.. lapan ringgit.. lima belas ringgit..” Kemudian, dia terdiam seketika..
Rais menggenggam duit-duitnya dengan tangan kanan, dan menelan air liurnya, untuk mengendurkan rasa gelisah di dalam hatinya, Tiba-tiba, seorang lelaki berjalan di hadapannya, dan menghulurkan sekeping duit bernilai RM50, Rais mendongak, dan memandang lelaki itu..
“Aku membaca raut wajahmu.. kau butuh uang bukan..” ujar lelaki itu, yang bertubuh tinggi lampai dan berambut panjang paras bahu, Rais terpaku seketika. Dia merasa agak kekok, apabila mendengar liuk lenggok bahasa melayu lama, yang dilontarkan oleh sang lelaki di hadapannya itu.
“Alunan lagu dan petikan gitarmu, menenangkan hati..” Sejurus itu, Rais bingkas berdiri dan menerima duit itu, “Banyak ni tuan.. tak pernah pernah orang bagi banyak macam ni..” Lelaki itu hanya terdiam, dan memandang wajah Rais, “Terima kasih tuan..” sambung Rais.
“Sekiranya bulan tidak memihak kepadamu.. kelak kita kan berjumpa lagi..” balas lelaki itu, Rais mengerutkan dahinya, kurang mengerti akan apakah yang sedang dikatakan, oleh lelaki yang berada di hadapannya itu, Dia melipat duit di tangannya, dan dia masukkan ke dalam poketnya.
Belum sempat Rais mengutarakan kata-katanya, lelaki itu melangkah meninggalkan Rais yang masih terpinga-pinga, Selama lelaki itu melangkah, Rais memandang tajam ke arahnya. Ini kerana, aura yang terhasil dari tubuh lelaki itu, terasa cukup menghangatkan sekali..
Satu jam kemudian, Rais sampai di hadapan rumahnya. Dia mematikan enjin keretanya, dan dia meluru masuk ke dalam rumahnya, Isterinya, Nur.. sedang tertidur di atas sebuah kerusi panjang, Rais meletakkan beg guitar di tepi dinding, lalu dia bersila di sebelah isterinya..
Malam itu, hujan masih lagi turun renyai-renyai. Udara dingin menikam-nikam tubuhnya, Rais meraup rambutnya yang telah basah dibilas air hujan.. titisan air terenjis ke wajah isterinya, “Abang dah balik..?” getus isterinya perlahan, sambil membuka matanya separuh.
“Baru sampai..” balas Rais sambil mengusap lengan isterinya, “Esok Nur rehat la.. biar abang masak.. Nur selalu cakap nak makan ayam kan?” “Kita ada duit ke bang..?” “Ada. Abang ada sikit ni..” “Simpan la bang..” “Takpe. Anak kita nak makan ayam.. abang kena beli ayam..”
Seminggu kemudian, Friday, 6 June 2014, Pada waktu petang, 5:30 PM, ——— Di sebuah kedai di tepi jalan, Rais sedang melepak bersama dengan seorang sahabatnya, Afnan, “Dah dua tahun tak jumpa kau sejak kau nikah ni Rais. Apa cerita sekarang?” soal Afnan.
“Cerita dia sekarang, bini aku mengandung.” Afnan menepuk bahu Rais berkali-kali, “Tahniah brader! Haha. Laju buat kerja.” Rais turut tertawa, sambil menyalakan sebatang rokoknya, “Bila ingat balik, kau Rais.. budak jahat kampung kita.. ada bini.. nak ada anak dah sekarang.”
“Dah kau bila Nan? Bila nak kahwin? Kau dah tua Nan. Dah 30 tapi tak kahwin lagi.” “Ahh. Malas aku. Aku selesa macam ni. Tak serabut.” “Kau buat kerja apa sekarang?” soal Rais, “Aku buat event.” “Event apa?” “Macam-macam event. Kenduri kahwin pun aku buat.”
“Kira kau cover semua la?” “Semua jenis event aku cover.” Rais mengangguk, “Kau busking lagi sekarang?” “Haah. Itu je la yang aku pandai. Kadang aku ambil job jadi cikgu musik sementara.” “Okay tak?” “Boleh la Nan. Cukup-cukup makan.”
“Nak cari kerja tetap, siapa nak ambil aku. Sijil takde.” sambung Rais, “Kerja lama?” soal Afnan, “Pale hotak kau. Mengamuk si Nur tu kat rumah nanti.” Afnan tertawa terbahak-bahak, sambil menyalakan sebatang rokoknya, “Okay bro. Aku ada satu job. Tu pun kalau kau nak la..”
“Job apa?” Rais mencicip secawan teh tarik, “Badut.” jawab Afnan, Air di dalam mulut Rais, tersembur di atas meja, “Kimak! Masuk dalam cawan aku!” bentak Afnan, Rais mengelap bibirnya.. terbatuk-batuk.
“Kau-kau cakap apa Nan?” “Badut. Kau dengar apa?” balas Afnan, Rais tertawa kecil sambil mengelap air matanya, dek kerana geli hatinya mendengar jawapan daripada Afnan, Afnan turut tersengih melihat telatah Rais, “Asal kau gelak? Kau bagitahu aku. Asal kau gelak?”
“Okay sorry Nan. Takde la. Kau tengok muka aku. Berparut. Muka gangster. Sepanjang kau kenal aku, pernah tengok aku buat lawak? Tang mana kau tengok aku, boleh jadi badut?” “Takde masalah pun. Jadi badut ni, bukannya susah sangat pun Rais.” “Senang ke?” “Senang jer..”
Afnan menghembuskan asap rokoknya ke udara, “Step pertama, pakai baju badut. Eh jap, silap. Bukan baju. Costume badut. Step kedua, jadi badut. Kau joget-joget, buat belon sebiji dua biji.. settle.. budak-budak ni, tengok badut pun diorang dah gelak dah. Easy money brader..”
“Berapa?” soal Rais, “200 ringgit satu job.” Rais membilang angka menggunakan jari jemarinya dengan rokok terletak elok di bibirnya, Kemudian, dia kembali menghembuskan asap rokoknya, “Serius?” Afnan mengangguk, “Payment full, cash?” soal Rais, “Cash.”

