The Redemption of an Illusionist ——— Second Mate - Shahidan Rauf . . Thread.
Pulau Tinggi, Johor, Thursday, 27 June 1991, ——— Di kaki Gunung Semudu, 9:00 AM, Seorang lelaki sedang melilaukan matanya, menggalas sebuah beg, dan memegang sehelai kertas yang usang, Dia menyandarkan tubuhnya di sebatang pohon.. “Kalau ikut keratan buku ni..”
Lelaki itu mendongakkan kepalanya, “Sini tempatnya..” Angin dingin berhembus-hembus, membelai rambutnya, Dia mengesat peluhnya dan mengorakkan langkahnya, “Sikit lagi.. kalau betul tempat ni..” ——xx—— Abdul Jaafar - 35 Tahun Profession : Ahli Arkeologi / Guru Silat
Pada keesokkan harinya, Friday, 28 June 1991, 8:00 AM, —— Di dalam sebuah bot, Jaafar memegang dan memeluk seorang bayi lelaki. Dia duduk bersila, dan mendongak ke langit, Di hadapannya, seorang lelaki tua, sedang menarik seutas tali, sambil menoleh dan memandang Jaafar.
“Jaafar.. mana kau dapat, budak tu..?” soal lelaki tua itu, Jaafar melepaskan pandangannya ke langit, dan menatap wajah lelaki tua itu, “Wadi, takde budak. Kau tak nampak apa-apa..” Lelaki tua itu terdiam, dan mengalihkan pandangannya, Jaafar mengusap kepala bayi lelaki itu..
“Jaafar.. dah hampir 30 tahun aku hidup dalam pulau ni.. setiap hari, setiap malam.. aku dengar suara menangis atas puncak gunung.. dan semalam, hari ni.. bukan kau sorang je.. pernah datang sini..” Jaafar terdiam, dan tidak menghiraukan kata-kata lelaki tua itu.
“Sekarang kau cakap, aku tak nampak apa-apa. Budak atas riba kau.. budak tu.. kau jumpa dekat puncak gunung sana.. aku nampak Jaafar..” Lelaki tua itu menarik tali botnya, Jaafar mengukirkan satu senyuman kecil, dan memakukan pandangannya, ke wajah bayi di dalam pelukannya itu.
Jari-jemarinya mengusap leher dan meraup rambut bayi itu, Di leher bayi itu, adanya seutas rantai, tangkai leher yang bercacahkan tulisan jawi, “Shahidan..” getus Jaafar, Dia menggenggam tangkai itu, dengan senyuman terukir di wajahnya, “Nama kau.. Shahidan.. Shahidan Rauf..”
10 tahun telah berlalu, Friday, 13 July 2001, Pada waktu malamnya, 8:00 PM, Rumah Anak-Anak Yatim Jaafar, ——— Di dalam sebuah ruangan, bersebelahan dengan bahagian dapur, Seorang lelaki yang berusia 45 tahun, sedang berada di penjuru meja panjang. “Hidan.. baca doa..”
Seorang budak lelaki, berdiri dari kerusinya, dan menadahkan tangannya, Bacaan doanya diaminkan oleh seramai 25 orang kanak-kanak yang lainnya, Rata-rata mereka, berusia di dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun, Selang satu minit, seorang wanita membawakan sedulang makanan..
“Terima kasih Mak Siti..” ucap budak lelaki itu, Mak Siti mengusap kepala budak lelaki itu. Dia menarik sebuah kerusi, dan duduk di sampingnya, ——xx—— Shahidan Rauf - 10 tahun Anak Angkat Pertama Abdul Jaafar Penghuni Sulong Rumah Anak-Anak Yatim Jaafar
Dua jam kemudiannya, 10:00 PM, ——— Di sebuah anjung, Jaafar sedang menggulung rokok daunnya, Dari belakang, Shahidan berjalan ke arahnya, sambil membimbit sebuah buku, “Tok Pa..” Jaafar menolehkan kepalanya, “Dah habis kerja sekolah?” Shahidan menggelengkan kepalanya.
“Kenapa tak siapkan dulu? Dah pukul 10 dah ni.” Shahidan meletakkan bukunya di atas lantai kayu, dan duduk bersila di sebelah Jaafar, “Hidan siapkan kejap lagi. Dah tak banyak.” Jaafar mengangguk, dan menyalakan rokok daunnya, “Kenapa ni?” soalnya.
“Semalam.. Hidan mimpi lagi..” Jaafar menjeling ke arah anak angkatnya itu, “Hidan mimpi.. ada sorang perempuan, peluk Hidan.. dia menangis..” Shahidan menoleh ke arah Jaafar secara perlahan, “Lepas tu, dia tanam Hidan..” Tangan Shahidan menggigil.
“Tak rasa macam mimpi..” sambung Shahidan, Jaafar menghembuskan asap rokoknya ke udara, “Baca doa, basuh kaki sebelum tidur..” Shahidan menyandarkan tubuhnya di sebatang tiang. Kepalanya melirih ke arah halaman rumah, Jaafar tertawa kecil, memandang anak angkatnya itu.
Shahidan memandang wajah Jaafar, dan turut tertawa, “Bang Hidan!” laung seorang budak perempuan yang berusia 5 tahun, Dia berjalan ke arah Shahidan sambil mendepakan tangannya, “Mimi tak tidur lagi?” soal Shahidan, sejurus memeluk tubuh budak perempuan itu.
Pada keesokkan harinya, Saturday, 14 July 2001, 9:30 AM, Waktu pagi, di halaman Rumah Anak-Anak Yatim Jaafar, Seramai 10 orang kanak-kanak, sedang bersimpuh di atas padang rumput, dan membuat satu bulatan yang besar, Jaafar yang berada di tengah-tengah, menadahkan tangannya.
“Tap..” Jaafar membuka tapak kekudanya, Shahidan bingkas berdiri dari persilaannya, “Rendahkan tapak kekuda..” arah Jaafar, Shahidan menseret tapak kaki kanannya ke belakang, ——— “Seni Tempur Topeng Putih..” Jaafar mengangkat peha kanannya, dan menegakkan tubuhnya.
“Pementasan Pagi..” Jaafar mendepakan kedua-dua belah lengannya, dan meliukkan jari-jemarinya, Manakala Shahidan, turut membuka langkah yang sama seperti ayah angkatnya, “Bagaikan teratai, diangkat ke langit..” Jaafar menyimpan pergelangan tangan kanannya ke dada..
Kemudian, dia menjatuhkan kaki kanannya ke tanah, dan mengepal tapak tangan kanannya, “Embun pagi dihembus angin..” Jaafar menujahkan penumbuk tangan kanannya ke hadapan, “Dara sunti datang mengintai..” Dia menoleh ke sisi kiri, dan menarik-seretkan kaki kirinya ke dalam..
“Sang arjuna membuka langkah..” Jaafar menghulurkan telapak tangan kanannya ke hadapan, dan disilangkan dengan lengan kirinya, “Srikandi di hujung mata..” Dia menjatuhkan kaki kirinya ke tanah, dan menolehkan tubuhnya ke kanan, secara perlahan, sambil menghayunkan lengannya.
Beberapa orang budak lelaki, tertawa kecil melihat gerak gaya yang dipersembahkan oleh ayah angkat mereka, Jaafar meneruskan pencaknya, dan turut tersenyum melihat anak-anak angkatnya yang sedang bergeli hati, Setelah beberapa langkah dipersembahkan, Jaafar menutup pentasnya.
“Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka, musuh yang menceroboh. Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan musuh-musuh Allah, dan musuh-musuh kamu..” Jaafar mencapai sehelai selendang kuning.
“Serta musuh-musuh yang lain dari mereka.. yang kamu tidak mengetahuinya.. sedang Allah mengetahuinya..” Jaafar melilitkan selendang itu di kepalanya, “Zaman dulu, orang-orang melayu wajib belajar silat, dan mengaji di pondok..” Jaafar bersila di tengah-tengah padang..
“Supaya roh dan jasad kita, bertiti di atas landasan ilmu di dunia, dan juga di akhirat. Takkan melayu seseorang itu, selagi dia tak pandai bersilat, dan tak reti berbicara dalam bahasa tuhan..” Jaafar memacakkan sebilah pisau ke dalam tanah, “Melayu, hilang di dunia..?”
“Takkan hilang melayu di dunia.. selagi anak-anak kami memegang badik memegang keris.. memeluk kitab dan mencium tanah dengan dahinya..” Suasana sunyi seketika, Jaafar tersenyum, “Kasih sayang tanpa kekuatan adalah kelemahan, kekuatan tanpa kasih sayang adalah kezaliman..”
“Telah menjadi kewajipan kepada Tok Pa, untuk mengajar anak-anak Tok Pa, erti sebuah kemanusiaan dan kemelayuan.. dan tanggungjawab untuk memegang, prinsip seorang lelaki..” Jaafar menarik hulu pisau di hadapannya dari tanah, Dia menghulurkan mata pisaunya ke hadapan..
“Pertahankan mereka, yang berada di belakang kita. Hormati mereka, yang berada di sisi kita. Dan rempuh mereka, yang menentang kita dari depan.. tanpa belas kasihan.” Jaafar memusingkan hulu pisaunya secara terbalik, “Dan yang terakhir, simpan dan jadikan sebagai azimat..”
“Jangan pernah sama sekali, melukakan hati dan tubuh seorang perempuan.. Perempuan harus dipertahankan dengan nyawa.. Harus dibelai dengan hati.. Harus diselimutkan dengan cinta.. Takkan lelaki seseorang itu, sekiranya dia memaksa seorang perempuan sehingga menangis..”
Shahidan dan yang lain-lainnya, terpinga-pinga.. Seekor merpati melintas di udara, melepasi kepala mereka.. Sukar bagi mereka, untuk memahami kata-kata Jaafar.. Jaafar turut terdiam, “Kita sambung. Dengan pasangan masing-masing. Hari ni kita belajar, pukulan ke-20.” ujarnya.
Enam tahun kemudiannya, Monday, 16 July 2007, 4:00 PM, ——— Di belakang sebuah bangunan, Shahidan yang berumur 16 tahun, sedang memegang sebatang kayu, dengan lelehan darah mengalir di dahi dan di bibirnya, “Bang Hidan..” ujar seorang gadis muda yang berada di belakangnya.

